Rakyat Malaysia perlu meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan kebangsaan serta menyemai sikap kesederhanaan tanpa mengira kaum dan agama seiring dengan konsep 1Malaysia, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata sumbangan dan penglibatan mereka amat penting dalam membina sebuah negara yang berjaya dan berdaya saing daripada segi ekonomi, sosial dam perdagangan antarabangsa.

"Mereka juga perlu memberi sokongan penuh kepada setiap usaha kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjayakan negara Malaysia di persada antarabangsa," katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2016 pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata rakyat Malaysia perlu berfikir dan bertindak secara kreatif serta menjadi masyarakat berinovatif dalam memenuhi segala impian yang dihajati pada tahun baharu ini.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata kementerian akan terus memacu agenda transformasi kesihatan negara bagi melestarikan agenda kesihatan dan keperluan negara pada masa hadapan.

Justeru itu, ia akan memperkasa kesihatan keluarga, penjagaan kesihatan primer, memupuk kesedaran serta meningkatkan pengetahuan penjagaan kesihatan seperti program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dan menambah baik infrastruktur kemudahan kesihatan.

Mengenai MIC, Dr Subramaniam berkata parti itu terus komited menerajui transformasi masyarakat kaum India terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan.